Adventure Touring Malaysia

Adventure Touring Malaysia
ATM
Home » » RIDE 4 LOVE MEMOIRS

RIDE 4 LOVE MEMOIRS

CATATAN RIDE 4 LOVE YALLA CHARITY RIDE 
- COPY PASTE DARI PAGE  FB YALLA CHARITY RIDE

Ride4Love Memoirs |
Matlamat utama misi Ride4Love bukanlah sekadar kembara kosong untuk bersiar-siar dan bercuti melawat tempat-tempat menarik. Sebaliknya, kami berharap untuk menyampaikan mesej tentang pentingnya untuk kita menyebarkan semangat kemanusiaan dan kerja amal serta berkongsi kasih sayang tanpa mengira pangkat mahupun darjat, kaya ataupun miskin, muda ataupun tua.
Untuk kita sama-sama membantu sesama manusia, dengan menyampaikan dana dan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Setiap manusia di dunia ini memerlukan kasih sayang, dan kita juga perlu memberikan kasih sayang untuk menerimanya kembali.
Dari pihak saya sendiri, saya telah meninggalkan keluarga tersayang serta kehidupan yang penuh dengan keselesaan demi misi ini. Setiap perkongsian di media sosial bukanlah bermaksud untuk berbangga mahupun mencari nama, tetapi untuk mewujudkan kesedaran dalam ganerasi anak muda bahawa kita mampu merubah dunia dengan cara kita sendiri.
:: En Sani Abdul Rahman, Duta Ride4Love
***
Kami dari pihak Yalla amat bersyukur atas segala sokongan yang telah diberikan untuk program Ride4Love ini, dari awal perjalanan sehinggalah ketibaan Encik Sani ke Pakistan pada masa ini.
Saya masih ingat ketika pertama kali bertemu Encik Sani di Projek Orked, dan saat beliau menceritakan mengenai perancangan kembara beliau ke Iskandariah, saya berasa sangat teruja. Dari situ, kami berkolaborasi untuk kembara ini, di mana Encik Sani menguruskan sebahagian besar misi ini, dan saya sebagai gadis di sebalik tabir yang menguruskan media dan publisiti bagi projek ini.
Ketika beliau bertanyakan kepada saya idea untuk kembara ini, lantas saya mencadangkan "Ride for Love" bersempena dengan motto Yalla "Spread the Love, Heal the World". Dan alhamdulillah, mesej daripada motto tersebut dibawa dengan cukup baik oleh program kembara ini.
Kami di Yalla amat bertuah kerana mendapat seorang ‘Abang Long’ yang berkongsi semangat bersama keluarga Yalla kami, yakni untuk menyembuhkan dunia dengan menyebarkan kasih sayang dan melakukan kerja amal. Perjalanan merentasi sempadan 9 buah negara ini sangat menepati motto kami, dan kami berharap misi ini akan berjaya mencapai matlamatnya dan benar-benar menyentuh hati setiap insan yang mengikuti perkembangan Ride4Love.
Di sini kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu yang telah membantu dan menyumbang dari berbagai segi, tidak kiralah dana, sumbangan, mahupun sokongan dan doa. Hanya Allah yang mampu membalas jasa anda semua.
Alhamdulillah, baru-baru ini, kami telah mendapat liputan publisiti dari media antarabangsa, dan kami berharap moga semangat Yalla akan sampai ke seluruh pelusuk dunia. Moga Tuhan sentiasa menjaga niat dan hati kami agar tidak leka dengan nikmat yang telah Dia berikan, kerana keikhlasan hati dan kuluhuran budi itu adalah kunci agar setiap usaha kita diredhai.
Moga Allah redha dengan setiap usaha kita. Allahumma ameen.
Yang ikhlas,
Anis Nadia
Public Relations Officer
Equal-Yalla Ride4Love

0 comments:

Catat Ulasan